OKTOBER 2021

Peruntukan RM285.47 Juta Untuk BKSS 8.0


KUCHING: Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan inisiatif Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 bagi membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, di bawah BKSS 8.0 kerajaan akan menyediakan peruntukan RM285.47 juta untuk selama enam bulan sepanjang tahun 2022 dan memberi bantuan secara sekali bayar.

BKSS 8.0 itu merangkumi diskaun bil elektrik dengan peruntukan RM166.8 juta yang memberi manfaat kepada 647,000 isi rumah, katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri 2022 di sini.

Bagi diskaun bil air, beliau berkata, sebanyak RM24 juta diperuntukkan untuk memberi manfaat kepada 646,131 isi rumah.

Kerajaan, katanya, akan turut memberi diskaun 50 peratus kepada 3,200 penyewa rumah Perbadanan Pembangunan Perumahan dengan menyedia peruntukan sebanyak RM2.6 juta.

Selain itu, kata Ketua Menteri, kerajaan juga memansuhkan sewa bagi pengusaha PKS yang menyewa premis milik syarikat berkaitan kerajaan negeri dengan menyedia peruntukan RM2 juta dan diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menyedia peruntukan RM1.7 juta.

Seramai 1,725 pengusaha perahu tambang berdaftar dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), pengusaha van berlesen, pemandu teksi, bas sekolah dan operator van akan menerima insentif RM500 sekali bayar dengan jumlah keseluruhan RM0.87 juta, katanya.

Geran sekali bayar RM1,000 akan diberikan kepada 87,500 penjaja melalui Sarawak Pay dengan peruntukan RM87.5 juta turut disediakan, katanya.

Dalam BKSS 1.0 hingga ke BKSS 7.0 pada 2020 dan 2021, katanya, kerajaan menyalurkan bantuan berjumlah RM5.3 bilion bagi membantu meringankan beban rakyat dan memulihkan semula ekonomi.

Sumber dari : Jiwa Bakti